..................

trying 2bsimsucb4

Friday, October 9, 2009

Tupai

…Suatu ketika dulu, ada seekor tupai yang hidupnya agak sederhana. Ia mempunyai rasa hati yang cukup kuat dan bersemangat untuk berdepan dengan setiap rintangan mendatang. Tupai bergerak dari pohon ke pohon, mencari dan memenuhi keperluan hidupnya.
Pernah dulu ia singgah di sebuah pohon yang dirasakan hebat. Ia ingin membina hidup yang lebih baik di situ, namun atas ketentuan yang Esa semua yang diimpikan habis begitu saja apabila pohon yang hebat itu bergoyang dan bergoncang ditiup ribut lalu mematahkan dahan tempat tupai itu berpaut.

Dengan lompatan yang ketar, ia teruskan juga kerana ia tahu pasti ada sesuatu yang lebih baik untuknya nanti. Ia redha.

Sungguh tak disangka lompatannya yang kesekian kali ini telah singgah di pohon yang agak rendang dan rupanya telah pun berpenghuni. Atas pelawaan tuan pohon yang sungguh baik hati, ia cuba untuk menumpang teduh. Cukuplah sekadar untuk melepas lelah seharian. Namun, pohon itu bukan haknya. Tidak mungkin pohon itu mampu dimiliki kerana kehadirannya sedikit sebanyak telah mengganggu ruang selesa penghuni pohon rendang itu walaupun tuan pohon beriya-iya mahu ia terus di situ. Lalu dengan hati yang cukup sayu, ia telah berfikir dan mengatur langkah. Biarpun ia tahu apa yang ingin dilakukakannya bakal melukakan hatinya dan tuan pohon tersebut,tapi demi kebahagiaan yang telah lama wujud di situ ia menetapkan pendirian dan bernekad untuk pergi, secara perlahan-lahan. Hatinya yang sudah cukup serasi dan sayang akan pohon tersebut, sentiasa mengingatkan ia bahawa ia harus pergi. Mungkin ia tidak sekuat yang ia fikirkan. Ditambah pula umpat keji yang berhamburan, namun ia pasti semua itu bakal menguatkan semangatnya. Untuk ia berdiri menongkat jasad.. Untuk melompat lagi kesekian kali.

Hari ini, si Tupai berdiri di laman itu sambil memerhati kehidupan di situ. Biarpun ia terlalu ingin memiliki sebuah kehidupan seperti itu, jika belum masanya ia harus akur dengan ketentuanNya. Lompatan yang ingin dibuat kali ini diharap membuahkan hasil dan berjaya menemui sebuah pohon yang rendang buat dirinya dan kehidupan yang bakal ia teruskan dengan apa yang telah ia miliki sebelum ini tanpa menumpang kasih yang simpati dengannya.

Berdiri lagi menghadap betapa luas saujana mata memandang bumi Tuhan yang kaya.. Ia tahu, pasti ada tempat untuknya di sebalik rimbunan pepohon yang megah berdiri. Pintanya agar sepandai pandai ia melompat janganlah mendarat di tanah. Sakit pasti bukan kepalang, aib takkan dapat dihalang dan airmata pasti bergenang..

Bukan simpati yang ia perlukan, bukan kasihan yang diinginkan dan bukan kesusahan yang ingin diciptakan…



@nuha 17101430h

No comments:

Post a Comment