..................

trying 2bsimsucb4

Wednesday, June 3, 2009

Jejari Kecil...

Jejari kecil itu memegang erat jariku...
Terasa benar perasaan yang hadir di hatinya...
Bebola matanya yang bulat merenungku dengan penuh makna...
Biarpun bibir yang kemerahan itu tidak mempamer reaksi, seolah-olah aku terdengar dia bertanya, 'Ibu, kenapa?'
Airmata yang kutitiskan untuk kesekelian kali ini benar-benar membuaiku...
Aroma kesedihan menyelubungiku...
Menabur kehibaan yang amat...

Bersama duka yang menghiris...
Apa dayaku menegakkan kaki melawan realiti ini?
Mengheret bersama jejari kecil yang erat menggenggam jejariku...
Kupeluk tubuhnya, meluahkan sengsara hati...
Kuusap halus rambutnya, menyisih sejuta lara di jiwa...
Kusedar ketidakupayaannya berlari bersamaku…
Merentas masa yang pantas meninggalkan kami,

namun pohonku pada Yang Kuasa agar kami bersama dalam mentaatiMu dan rasulMu.
Maafkan ibu, sayang...
Kasih ibu, sayang ibu hanya buatmu...
Tidak pernah berbelah bagi...
Andai hatimu terluka bersama waktu, maafkan ibu...
Andai jiwamu tercalar bersama usia, maafkan ibu...
Kekhilafan ini mengheret kita ke sini...
Ke jalan sunyi, sepi dan kosong...
Duhai sayang,
Serumpum keriuhan, selaut kebahagiaan,

segunung kegembiraan akan aku cuba hadirkan di sini...
Memenuhi ruang hidupmu...
Bersama doa dalam tiap kelip mataku, agar kau tabah dan sentiasa dirahmati...
Semoga kau mencapai tekadmu awal dulu untuk mentaati Penciptamu dan kekasihNya...
Kejarlah yang abadi, sayangku...
Pintalah kenikmatan di alam sana, kasihku...
Tanamlah di jiwamu, kasih sayangku sentiasa bersamamu...
Duhai jejari kecil...
Kesayangan ibu..
Selamat Ulangtahun, sayang...

(Muhammad Aqil Ahnaf ... 290506-09)


@nuha


Friday, May 15, 2009

Jem..

Seawal 7:35 kiteorg gerak ke Putrajaya dari Kajang menggunakan Lebuhraya SILK, dengan harapan dapat sampai seawal yang boleh dan mana tahu bolehla memarking kat basement...
Setiba je di Plaza Tol Sg Ramal, berderet kereta menunggu nak melepasi tol...selepas tol tu toksah ceritalah....apa yang boleh aku sebut time tu cuma..."Allahuakbar" ...hehehe...
Untuk melepasi palang tol tu je dah amik masa 10 minit, sebaik lepas je palang tol tu terpaksa lak menunggu selama 5 min, kemudian satu keputusan yang kononnya bijak diambil...
Signal ke kiri diberi...dengan harapan kereta di barisan sebelah boleh memberi ruang untuk melintas... Yang agak mengejutkan ialah, 2 buah kereta di barisan sebelah tu begitu sombong dan siap angkat tangan tak mahu bagi ruang laluan...padahal kalau tak bagi pun bukan boleh jalan...dah terang-terang kene berhenti...kiteorg tersekat kat situ sebelum diberi laluan melintas hampir 15 minit...
Memang mengejutkan sikap pengguna jalanraya yang lansung tak bertimbang rasa...cermin dah diturunkan untuk meminta laluan...tangan siap dilambai...takkan nak pakai speaker untuk memberitahu niat murni sekadar nak meminta ruang untuk melintas ke laluan kiri yang sememangnya bukan laluan yang direbut-rebut tu?
Sungguhpun begitu, masih ada yang mempunyai sikap bertolak ansur dan bertimbang rasa serta yang boleh berfikir "out of the box" bila melalui keadaan yang sebegitu...
Akhirnya punch card dipunch pada pukul 9:15 pagi...itu pun dengan melalui beberapa jalan pintas yang juga sesak bagi mengelak dari beratur panjang untuk sampai ke simpang Putrajaya....tak tahu ini adalah tindakan yang bijak atau tidak...
Huh...sabar jelah...
Ini belum lagi menyaksikan orang yang berperasaan terperasan motor sebesar lori lagi....menunggang motor menggunakan lane kanan sekali...setiap hari di Lebuhraya ini juga la boleh menyaksikan pelbagai sikap pengguna jalanraya yang sungguh....entahlah....
ini belum lagi perhal di KL...huh!
Bukan nak kata diri sendiri pemandu yang baik, tapi nak buat sesuatu di jalanaraya yang bukan hanya diri sendiri je yang memandu memerlukan pemikiran yang waras dan kesabaran yang tinggi...tanpa itu semua, bersedialah menanggung akibat dek perbuatan sendiri tu....
Memang tak heran lansung kalau accident berlaku setiap hari, setiap jam...
Semoga kawan-kawan yang memandu dengan berhemah selamat dalam perjalanan pergi dan pulang, amin....


@nuha 









Tuesday, May 12, 2009

Ini...

Bagaimana irama memilih rentak,
Mengalun bersama mencipta lagu,
lentuk tari mengiring jejak,
Menanti saat musik dipalu...

Bagai menarik kesuraman sinar,
Menutup cahaya mengalas duka,
Akunya belas adakah benar,
Bukti terluka mengakhir kata...

Tatkala hakikat mula dicari..
Mengapa tergamak kasih dilupa...
Sedang sayang telah diberi...
Berkata maksud tiada bahgia...

Di mana letak ayat menyata,
Kini nafi bagai beraja,
Andai dulu tiadanya suka,
Mengapa hati tidak bicara...

Lengkapkah diri bila berfikir,
Menyalah dia bak hebat lah saya,
Menunding jejari perkecil takdir,
Sedang empunya tiada berkuasa...


Selaung kisah cerita segala,
Namun diri menanggung jua,
Biar berbuih bibir bicara,
Yang tahu jua hanyalah jiwa.


@nuha






Thursday, April 30, 2009

Cameron Highland

Setelah 7 tahun berlalu, kaki ini terjejak lagi ke sini. Ternyata banyak kelainannya, terutama sekali di ingatan yang makin hari makin merosot tahap kecekapannya.
Perjalanan selama 2 jam lebih, amat menyeksakan...

Apa taknya? Badan terasa lemah dan seolah-olah mencair setiap kali melepasi lengkok jalan yang sangat bengkok. Hasrat perut yang mahu mengeluarkan isinya terpaksa ditahan,kerana takde benda yang boleh dikeluarkan. Ternyata ada hikmah xsempat bersarapan pg tadi...
Disebabkan nak sampai ke sini agak mencabar tahap ketahanan mengawal minda, maka sebagai reward kepada diri sendiri, 2 kali kaki ini dipaksa menyusuri pasar malam Brinchang. Walaupun setakat membeli stroberi dan bunga dan fridge magnet dan menan aqil dan bunga...esok masih ada agendanya...
Biar indah dan melangit pujian orang pada tempat di luar sana, di sini juga best...

Suasana mungkin berbeza, tapi keselesaan berada di tempat sendiri dengan orang sendiri dan resam sendiri begitu menyenangkan..
Semoga keamanan, kesejahteraan dan kebebasan ini berkekalan...amin.
Mengambil peduli setiap yang ada di sekeliling kita berupaya memuhasabahkan diri agar sentiasa menghargai nikmat yang diberi...
Sebuah kenikmatan jika tidak direnungi dan diambil peduli ia takkan disedari. Kemudian ia hanya disesali bila ditarik pergi tanpa mungkin kembali lagi...


@nuha







Friday, April 10, 2009

Sunan

Betapa keindahan iman bisa menyerlahkan kemuliaan pekerti dan kejernihan peribadi...
Santun tingkah lembut menggegar jiwa...
Saat jelingan menyinggah di hati,

bagai terkesima bicara biarpun tanpa hadir di realiti...
Gerak tari perjalanan bagai tak terjejak keluh dan kesah...
Membasah bibir memuja Pencipta...
Mendidik batin menunduk akur...
Biar betapa hebat diri dipuja, namun ihsan dan ikhlasnya tetap bersandar atas kepercayaan...
Kasih yang tertumpah bisa melukakan jiwa yang memandang..
Amat membahagiakan bila membanjiri sanubari...
Nyatanya, dia tiada berjiwa...
Hadir cuma mengisi minda...
Namun, ruang hati ingin dia mengisi...
Mengkagumi bukan pada paras,
Mengasihi bukan pada budi,
Menyayangi bukan pada bicara...
Pendambaan cuma pada ketaqwaan...
Mengharap kilauan keputihan iman bisa singgah menyaluti hati....



@nuha

Sunday, March 22, 2009

UTM Skudai-GIS II

Kali kedua menjejakkan kaki ke sini bagi tujuan yang sama, iaitu mendalamkan pemahaman mengenai GIS. Sesi pembelajarannya amat memuaskan, walaupun sesekali mata ini seolah-olah ditarik-tarik supaya tertutup dan berdengkur maka sekaligus membuatkan penyungkuran yang tragis... Namun,hasilnya memang memberansangkan...kursus sebegini bukan sekadar belajar ilmu baru,ia juga mendedahkan perkara baru, dan mencetus idea ke arah penambahbaikan dalam tugas seharian di opis...(mcm 5S plaks)...sebenarnya seronok jugak belajar, tapi ia perlu disertai azam dan keyakinan yang kuat agar usaha, masa, dan peluang yang ada tidak berkesudahan dengan hasil yang sia-sia...insyaAllah...
Terima kasih buat tenaga pengajar yang memberi tunjuk ajar di depan dan dibelakang...Semoga ilmu yang diajar diberkati dan kalian sentiasa dirahmati...amin...
Terima kasih juga buat kawan-kawan yang menceriakan hari sepanjang kursus di UTM Skudai, anjuran Jabatan Geoinformatik...best!

@nuha

Thursday, March 12, 2009

dia...aku...

Dia masih dia yang kukenal dulu,
Masih dia yang dingin,
Masih dia yang jauh dari ruang hatiku.
Dia masih dia yang berdiri di situ dan hanya mengharap perhatian.
Dia tetap dia yang dulu, kini, dan akan datang.
Aku...
Aku bukan lagi aku yang dulu,
Aku bukan lagi yang selalu mendamaikan,
Bukan lagi aku yang mempunyai dia dihati,
Aku adalah aku yang berdiri di sini mengalihkan perhatian.
Aku tidak lagi aku yang dulu, untuk kini dan akan datang...
Apa dicita bintang di langit,
Jika mentari megah bercahaya,
Apa disuap ulam yang pahit,
Jika yang manis telah tersedia.
Berlari arus mengejar ke muara,
Gugur daun menghanyut diri,
Hati lara di biar sengsara,
Ibarat kaku disangka mati....


@nuha